KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengemukakan senarai nama calon Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Ia berikutan tempoh Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Juhar Mahiruddin dijadual tamat pada 31 Disember depan selepas perkhidmatannya disambung dua tahun sejak 1 Januari 2023.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan Yang di-Pertua Negeri terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala kerajaan negeri hanya mencadangkan nama yang difikirkan layak.
“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, kita akan hantar (nama calon bakal TYT) dalam masa terdekat,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS), di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan negeri sudah menghantar senarai nama calon TYT untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hajiji bagaimanapun enggan mendedahkan nama bakal calon TYT yang akan dihantar kerajaan negeri.
Pada 23 Disember 2022, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lantikan penggal keempat bagi Tun Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah itu berkuatkuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun dan paling lama sejak dilantik pada 1 Januari 2011.
Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan (WARISAN) pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.
Sebelum 2018, seseorang TYT bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh perkhidmatan ditetapkan.
Tun Juhar juga boleh dilantik semula sebagai TYT selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir tahun ini, kecuali beliau membuat keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.
Pada 2022, beberapa nama lain turut dispekulasi sebagai bakal TYT baharu Sabah, antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kini Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.