Tumpuan :
Nasional

Sabah hargai peruntukan RM25 juta pasca banjir dari Persekutuan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Sabah menghargai peruntukan RM25 juta yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki infrastruktur rosak serta membantu penduduk terjejas akibat banjir di beberapa daerah sejak awal minggu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan kesan banjir dapat ditangani dengan berkesan.

“Sudah pasti bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa banjir selain membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir.

“Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan segera ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk membaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh serta kebakaran di Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan akibat bencana.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan seramai 14,209 kekuatan sumber manusia dari pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan terbabit dalam operasi bencana.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang terbabit dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke lokasi selamat ketika banjir di negeri ini.

Sementara itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menunjukkan seramai 4,966 orang mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi berbanding 5,725 orang pada tengah hari tadi.

Ia membabitkan sebanyak 1,757 keluarga di 33 PPS, berbanding 39 PPS tengah hari tadi, di Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, Telupid, Tongod, Lahad Datu, Beaufort dan Kota Belud.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini