KUALA LUMPUR: Pengurusan Sabah FC tidak akan ‘merehatkan’ atau menggantung pemain pertahanan, Mohd Rizal Mohd Ghazali walaupun dia berdepan kes mahkamah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya.
Artikel berkaitan: Pemain Sabah FC tak mengaku salah cederakan teman wanita
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, isu yang melanda bekas pemain kebangsaan itu adalah membabitkan peribadinya sekali gus tidak adil jika pasukan turut menjatuhkan hukuman kepada Rizal.
Beliau berkata, pengurusan pasukan akan mengadakan perbincangan bersama pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee dan Rizal bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik mengenai isu yang melanda pemain itu.
“Walau apa pun saya akan berbincang dengan ketua jurulatih dan Rizal sendiri untuk melihat apa jalan penyelesaian terbaik.
“Sekarang ini adalah membabitkan isu peribadi pemain itu dan tiada kena mengena dengan Sabah FC.
Jadinya, kalau pemain itu boleh beri tumpuan dalam pasukan dan memberikan komitmen tinggi sekali gus tiada masalah jika dia beraksi untuk Sabah FC,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, Rizal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.