comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah disaran guna Belanjawan 2025 dengan cekap – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. FOTO: Ihsan JKM

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sabah disaran menggunakan peruntukan Belanjawan 2025 dengan cekap selepas negeri itu menjadi negeri yang menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam Belanjawan kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab kini terletak kepada semua negeri termasuk Sabah untuk memastikan semua rancangan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Tegasnya, beliau tidak mahu mendengar sebarang kelewatan atau kerugian atas faktor ketidakcekapan serta amalan rasuah yang boleh menghalang kemajuan pembangunan yang dirancang menerusi dana yang diperuntukkan.

“Tolong hargai peruntukan untuk Sabah adalah yang tertinggi pernah saya rekodkan adakah ia mampu menyelesaikan isu atau masalah seperti sekolah dan hospital? Tidak, namun ia adalah percubaan yang berani dan kami (Kerajaan Persekutuan) akan terus meneruskan usaha itu.

“Tugas anda (Kerajaan Sabah) adalah memastikan ketelusan dan kecekapan pembangunan dilaksanakan agar tiada kelewatan dan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Anwar turut menggesa rakyat Sabah menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam usaha membawa perubahan yang lebih positif kepada negeri dan penduduknya.

“Ya, kami memerlukan lebih banyak dana untuk menaik taraf dan membaiki infrastruktur di Sabah. Alhamdulillah, projek Lebuh Raya Pan Borneo telah dimulakan semula dan sedang berjalan,” katanya.

Anwar berkata walaupun Sabah sebuah negeri yang berbilang kaum dan budaya, rakyatnya masih boleh bekerjasama secara harmoni, menunjukkan belas kasihan dan rasa hormat sebagai sebuah keluarga.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana membawanya sebagai Perdana Menteri bersama-sama menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan negeri itu.

Semalam Sabah menerima kenaikan 0.45 peratus peruntukan pembangunan kepada RM6.7 bilion pada tahun depan menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM6.67 bilion yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini