comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah buka lesen buru buaya sepanjang tahun

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah membuka permohonan lesen untuk memburu buaya sepanjang tahun dalam usaha mengimbangi populasi hidupan liar itu di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata setakat ini maklum balas diterima JHL Sabah berhubung permohonan lesen itu bagaimanapun masih pada tahap minimum.

Katanya, pemburuan buaya dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan konflik manusia buaya, selain mewujudkan industri berasaskan hidupan liar itu.

“Ini adalah satu cara untuk menjamin kelestarian industri buaya di Sabah. Bagaimanapun, maklum balas dari segi permohonan lesen masih pada tahap yang minimum ketika ini,” katanya dalam ucapan penutupan Bengkel Mengurus Konflik Manusia – Buaya di Sabah anjuran JHL, di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Malangking.

Bengkel dua hari itu yang dihadiri lebih 100 peserta antara lain membincangkan isu keselamatan manusia, kehidupan dan pemeliharaan buaya serta hubungan harmoni di antara manusia dan buaya di Sabah.

Sabah mula mengeluarkan lesen memburu buaya sejak kira-kira dua tahun lalu berikutan laporan peningkatan kes serangan reptilia itu terhadap manusia di negeri ini.

Christina berkata beliau percaya dengan memanfaatkan sumber semulajadi secara mapan, ia boleh mewujudkan peluang yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Saya berharap pendekatan ini bukan saja mengurangkan konflik (manusia-buaya) tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi tempatan.”

“Sehubungan itu, pada masa depan, buaya tidak akan digeruni tetapi sebaliknya dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Katanya, tujuan utama usaha itu adalah untuk mengurangkan ketakutan rakyat negeri ini terhadap buaya sambil menjamin pemeliharaan hidupan liar itu di habitat semulajadinya.

Beliau berkata buaya ditakuti sebagai satu ancaman kepada nyawa manusia dan kehidupan sejak sekian lama, namun masyarakat juga mempunyai peranan penting dalam mengekalkan kesihatan ekosistem sebagai sumber berpotensi untuk meningkatkan kehidupan komuniti setempat.

“Jelas bahawa ada jurang yang ketara dalam pemahaman masyarakat kita terhadap peningkatan konflik di antara manusia dan buaya. Sehubungan itu, perlu ada tindakan dan landasan untuk merapatkan jurang berkenaan, selain mendidik dan meningkatkan kesedaran,” katanya.

Berdasarkan rekod JHL Sabah, sebanyak 404 kes serangan buaya dilaporkan di Sabah antara 2019 hingga Mei 2024 dengan sebanyak 211 buaya ditembak mati dalam tempoh itu, manakala 42 mangsa terbunuh dan 23 cedera akibat diserang reptilia berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini