KUALA NERUS: Peserta RXZ Members 6.0 yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas diminta tunggu notis saman yang akan dihantar Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, notis saman atas pelbagai kesalahan termasuk motosikal tidak mempunyai cermin sisi kiri dan kanan serta ekzos bising akan dihantar terus kepada pemilik motosikal melalui alamat pada pendaftaran kenderaan.
Katanya, secara keseluruhan, polis negeri berpuas hati dengan susun atur dan perjalanan program disebabkan kerjasama baik antara pihak penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pada pemantauan dan pemerhatian, kita dapati masih ada peserta gagal mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan.
“Kita sengaja tidak mengeluarkan saman secara terus kepada peserta yang melakukan kesalahan kerana bimbang akan berlaku kesesakan,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Khairi menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal RXZ kepada peserta sempena Majlis Perasmian Penutup Himpunan RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, hari ini.
Majlis perasmian penutup itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd Khairi berkata, walaupun saman tidak dikeluarkan secara terus, selain tiada sekatan jalan raya, polis mempunyai bukti kesalahan dilakukan peserta RXZ melalui rakaman gambar dan video.
Mengulas jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku membabitkan peserta RXZ Members, Mohd Khairi berkata, tiada insiden kemalangan atau kecurian motosikal dilaporkan.
“Bagaimanapun, polis menerima antara tiga dan empat laporan membabitkan penipuan rumah inap desa kepada peserta program.
“Kita sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.