KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri memutuskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.
Jurucakap Kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memaklumkan, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.
RUU itu bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen itu.
Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac depan.
Langkah itu ujarnya adalah bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakan
agenda reformasi serta memperkukuh institusi demokrasi dalam negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.