
Oleh: Azreena Izaham & Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Sebarang sumbangan dari luar negara terhadap mana-mana parti politik adalah tidak dibenarkan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu disuarakan tiga pihak yang memberi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bagi mengelakkan pengaruh luar.
Ketiga-tiga pihak iaitu Kerajaan, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) serta Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya Dan Reformasi Institusi bersetuju supaya dana serta pengaruh politik dilarang bawah RUU itu.
“Kerana kita tidak mahu dikawal dari luar negara. Itulah yang pertama. Yang kedua, bila berkaitan dengan GLC dan sebagainya, inilah yang berbeza, kerana seluruh komitmen dan APBGM melihatnya dengan pendapat yang berbeza terhadap pengaruh,” katanya selepas merasmikan Sesi Libat Urus Berkaitan Penetapan Dasar Bagi Penggubalan RUU Pendanaan Politik, hari ini.
Jelasnya, sebarang perbincangan berkaitan sumbangan juga perlu diperhatikan dalam tiga aspek berbeza iaitu parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya.
Ini kerana terdapat individu yang tidak bertanding dalam pilihan raya, namun mendapat sumbangan dana disebabkan visinya atau visi parti.
“Kadang-kadang, untuk kempen pilihan raya, sesetengah perkara mungkin dibolehkan atau dilarang tidak kira ada pilihan raya atau tidak.
“Tetapi kempen pilihan raya adalah khusus, kadang kala ini yang sangat kritikal kerana kita fikir parti kita boleh menang,” katanya.
Sesi itu turut disertai 68 wakil-wakil parti-parti politik, selain badan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Zamri Misman dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen.
Sehingga Februari lalu, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi kerajaan serta tiga mesyuarat dengan JKPK Hak Asasi, Pilihan Raya Dan Reformasi Institusi.
Pada 10 Februari, JKPK telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.
Sementara pada 12 Februari, Datuk Seri Azalina mempengerusikan mesyuarat bersama pelbagai agensi berkaitan termasuk jabatan peguam negara untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.
Baru-baru ini terdapat gesaan untuk mempercepatkan Akta Pendanaan Politik bagi memastikan ketelusan dalam pembiayaan parti politik dan mengelakkan sebarang salah guna dana, terutamanya menjelang pilihan raya.
Ia sekaligus mengurangkan risiko rasuah dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.