comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 ditangguhkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – FOTO: Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang sepatutnya diputuskan hari ini di Dewan Rakyat di sini, ditangguhkan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau memohon menangguhkan bacaan RUU itu di bawah Peraturan Mesyuarat 62, bagi membolehkan ia diperhalusi lagi sebelum diputuskan.

“Kami di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis menyambut baik semua pandangan yang diberikan Ahli Yang Berhormat.

“Bagi maksud menghasilkan RUU terbaik, kita mahu luluskan dan laksanakan supaya hasilnya baik, saya berhasrat untuk menangguhkan bacaan seterusnya dan kementerian akan mendapatkan pandangan selanjutnya daripada JPK Kesihatan dan JPK Keselamatan.

“Di situ nanti, kita akan jemput semua pihak yang berkepentingan, termasuk Ahli Parlimen, pakar perundangan dan badan bukan kerajaan (NGO), kita selesaikan dan perhalusi lagi dan barulah buat keputusan di peringkat Majlis,” katanya pada sesi penggulungan RUU (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada sesi perbahasan RUU itu, Khamis lalu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan ia dirujuk ke JPK bagi penelitian lanjut.

Cadangan itu, antara lain bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pusat rawatan swasta, dapat dilakukan untuk mengenal pasti rawatan terbaik bagi penagih dadah.

Selain itu, Ahli Parlimen berpendapat, ada beberapa aspek yang perlu dipertimbang seperti takrifan ‘pegawai pemulihan’ dalam RUU berkenaan yang langsung tidak menyatakan kelayakan dan kepakaran mereka, selain mencadangkan perlunya pembabitan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada masa sama, beberapa pihak, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menggesa RUU itu ditangguhkan sehingga pembabitan sewajarnya diadakan dengan pihak berkepentingan.

RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibentangkan Saifuddin untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Ia bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

Sebanyak 26 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini