
Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dalam sesi Parlimen kali ini.
Menterinya, Steven Sim berkata sekiranya ia diluluskan, Malaysia akan menjadi negara terawal di dunia bersama 15 negara lain yang mempunyai akta perlindungan pekerja gig.
“Kita dah tunggu draf ini sudah lama iaitu sejak 2019, akhirnya selepas pelbagai rintangan kita mempunyai draf terkini mengenai Akta Pekerja Gig.
“Sekiranya semua sudah bersetuju, tiada aral melintang saya akan bawa ia ke Kabinet dan selepas mendapat kelulusan terakhir bagi undang-undang ini, saya akan bentangkan di Parlimen dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya dalam sesi Town Hall berhubung Draf RUU Pekerja Gig 2025, di Kuala Lumpur.
Sesi kali ini membabitkan lebih 1,000 pekerja gig daripada pelbagai platfrom, selepas 11 sesi sama yang dijalankan sebelum ini.
Jelas beliau, Draf RUU Pekerja Gig 2025 antara lain untuk melindungi pekerja gig, memberi kewajipan dalam entiti kontrak, mengawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan dan mekanisme penyelesaian pertikaian.
Ia juga akan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja serta memberikan perlindungan keselamatan sosial.
Sebelum ini, RUU Pekerja Gig yang sepatutnya dibentangkan pada Disember tahun lalu terpaksa ditanguhkan bagi memberi ruang lebih banyak proses libat urus diadakan.
“Jadi saya minta kerjasama dari semua pihak termasuk pekerja gig, majikan, pihak kepentingan dan rakan dalam kementerian lain untuk merealisasikan undang-undang baru ini dan mencipta sejarah supaya kita dapat melindungi sektor industri gig di negara kita,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.