Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Jemaah Menteri telah memberikan lampu hijau dalam Mesyuarat Kabinet hari ini supaya RUU tersebut dibentangkan.
“Saya harap menjadi satu berita yang baik untuk rakan-rakan media iaitu RUU Majlis Media Malaysia telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk dibawa ke Parlimen.
“Jadi kita akan bentangkan dalam Dewan Rakyat minggu depan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet mingguan, di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, bacaan kedua RUU tersebut akan dibuat pada persidangan kali ini sekiranya mempunyai masa untuk perbahasan.
“Jika tidak (sempat), ia (RUU) telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat yang akan datang. Jadi ia berada di landasan, akhirnya,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi sudah mengemukakan draf RUU Majlis Media Malaysia kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan akhir.
Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.
Ia turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.