comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU kewarganegaraan akan dibahaskan minggu hadapan

FOTO: Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan akan menjadi tumpuan utama untuk dibahaskan dan diputuskan dalam sidang Parlimen, minggu hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tumpuan itu diberikan dalam usaha membolehkan kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibunya seorang warganegara manakala bapanya adalah warganegara asing.

Katanya, sebelum pindaan itu dilakukan, anak yang lahir di luar negara akan mendapat kerakyatan secara pendaftaran iaitu dilakukan melalui permohonan.

“Bagaimanapun kali ini, apabila pindaan Perlembagan ini dilakukan, dengan sokongan dua pertiga Ahli Dewan, anak ini akan mendapat status warganegara secara kuatkuasa undang-undang secara automatik.

“Ia akan dikuatkuasakan sebaik saja Dewan Parlimen, Rakyat dan Negara meluluskan pindaan ini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pindaan yang akan dibahaskan itu sudah melalui proses yang panjang dan sudah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Itu sudah berlangsung tidak kurang tiga pusingan. Sebelum pindaan sampai ke tahap ini, ia juga sudah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak di mana kedua-duanya juga sudah memberikan lampu hijau.

“Malah libat urus dengan badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, individu, aktivis dilakukan secara intensif sekali dan ini adalah peringkat terakhir sebelum dibawah ke Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, apabila pindaan ini diluluskan, anak-anak akan mendapat status mereka sebagai warganegara dengan segera, iaitu suatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

“Ini sebahagian daripada janji Kerajaan MADANI dan kami tunaikan.

“Saya percaya ahli Parlimen akan letak kepentingan rakyat sebagai keutamaan, jauh mengatasi daripada sentimen dan kepentingan kita sendiri.

“Saya yakin ini keputusan yang betul, tugas Kerajaan MADANI dibawah Kementerian Dalam Negeri yang diberikan tugas adalah untuk melengkapkan proses itu.

“Mudah-mudahan kelulusan diperoleh akan beri manfaat besar kepada rakyat Malaysia yang terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini