KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk sekali lagi ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata ia mengambil kira maklum balas diterima mengenai RUU berkenaan khususnya melalui sesi libat urus 6 Mac lalu, selain pandangan ahli parlimen, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).
Ini kali kedua RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK, selepas pertama kali dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, tahun lalu.
“Adalah penting untuk RUU ini mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.
“Oleh itu, Kementerian kesihatan (KKM) mencadangkan RUU ini dirujuk kepada JKPK Kesihatan yang akan bertindak sebagai semak dan imbang serta mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan,” katanya semasa membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU GEG dicadangkan bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Ketika sesi taklimat bersama media pada 6 Jun pula, Dr Zaliha berkata KKM telah memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu.
Justeru, katanya, RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional, tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok ‘combustible’.