comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Kawalan Produk Merokok diluluskan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Rang undang-undang yang mengandungi Fasal 1 hingga 54 itu dibentang semula bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara semalam, sebelum dibentang untuk bacaan kali ketiga hari ini dan dibahas 22 Ahli Dewan Negara.

Dzulkefly ketika menggulung perbahasan berkata pengguguran GEG daripada rang undang-undang ini adalah keputusan kolektif dan kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan setelah mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara.

“Berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara, terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, ini bermaksud memberi layanan yang berbeza terhadap orang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan mereka yang lahir selepas atau pada 1 Januari 2007.

“Konsep GEG ini akan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun berbeza.“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara mempunyai pandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 bagi meminda Akta Makanan 1983, selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Rang undang-undang mengandungi empat fasal yang turut dibentangkan Dzulkefly itu adalah bagi meminda Akta Makanan 1983 (Akta 281) untuk memastikan tiada percanggahan dan pertindihan peruntukan antara kedua-dua perundangan ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan Ahli Dewan Negara supaya tidak mencelah ketika menteri sedang membuat pembentangan sesebuah rang undang-undang dalam sidang Dewan Negara.

“Bila menteri bentang, tidak pernah dibolehkan untuk mencelah kerana yang dibentang itu soal pendirian, pandangan dan dasar kerajaan dan tiada kena-mengena dengan kita (Senator), itu kebiasaannya amalan dan tradisi,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, Senator dibenarkan untuk mencelah ketika seseorang menteri membuat penggulungan usul perbahasan dengan syarat berdiri dan menteri berkenaan memberi ruang.

Loading...
Terkini