
KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa peruntukan berkenaan generasi penamat (GEG) yang diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 boleh dicabar di mahkamah.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata ini kerana peruntukan itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata ia memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama rata di antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.
“Pejabat ini menegaskan AGC pada setiap masa secara konsisten memberikan pandangan undang-undang sejak 2022, bahawa peruntukan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Penjelasan itu susulan kenyataan media dikeluarkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal CodeBlue bertarikh 14 November lalu dan turut disiarkan New Straits Times dua hari lalu.
Perkara 8 (1) memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan di sisi undang-undang.
Sebelum ini, CodeBlue mendakwa, Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU berkenaan.
Menurut CodeBlue, Ahmad Terrirudin berpendapat, peruntukan dalam RUU itu melanggar perlembagaan kerana bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.
Terdahulu, Khairy menerusi kenyataan disiarkan portal CodeBlue, mendakwa terdapat dua menteri Kabinet menyekat RUU yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas 2007 diharamkan untuk membeli atau mengambil produk nikotin.
Sebelum ini, Khairy ketika menjadi Menteri Kesihatan memberi bayangan bahawa kerajaan bakal mengharamkan rokok pada masa hadapan dengan melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang lahir selepas 2007 di Parlimen.