Tumpuan :
Nasional

RUU berkaitan produk rokok dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat

Foto hiasan

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberitahu ketika membentangkan RUU itu, bacaan kali kedua dicadangkan dilakukan pada hari esok (Rabu).

Terdahulu, beliau menarik semula RUU terbabit bagi bacaan kali kedua, seperti tertera dalam Aturan Mesyuarat.

Pada 12 Jun lalu, RUU itu telah dirujuk semula ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen berikutan gesaan beberapa badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan agar beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.

Pembentangan rang undang-undang itu menggantikan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentang bagi bacaan kali pertama pada 27 Julai 2022 oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin.

Di bawah RUU dibentang pada Jun lalu itu, pengurangan kadar denda kepada RM500 berbanding RM5,000 dalam draf awal RUU terdahulu, antara enam pindaan dibuat.

Menerusi RUU baharu itu juga, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf RUU terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk.

Perintah khidmat masyarakat diperkenalkan, manakala pemeriksaan badan kepada golongan generasi penamat (GEG) tidak terpakai selepas peruntukan larangan pemilikan kepada GEG seperti yang terkandung dalam RUU terdahulu, digugurkan.

Satu klausa baharu turut dimasukkan iaitu pembentangan laporan keberkesanan berkala setiap lima tahun di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dengan laporan pertama dibentang sebelum Januari 2025.

Namun, beberapa pindaan baru itu  dikritik beberapa pihak khususnya pemain industri rokok elektronik.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini