comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Akta pembaharuan semula bandar: KPKT adakan 52 libat urus

Nga Kor Ming , Menteri KPKT

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengadakan 52 libat urus bersama agensi persekutuan dan negeri yang menyentuh penggubalan Rang Undang-undang, RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar, Akta PSB.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia antara usaha kementeriannya dalam memastikan pembangunan semula bandar dapat dilaksanakan secara sistematik, terancang dan cekap.

Sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak pula akan diadakan pada bulan depan supaya keperluan khusus mereka turut diberi perhatian, mengambil kira keunikan kawasan dan geografi.

“Sebagai makluman juga, KPKT telah membentangkan dasar kepada jemaah menteri bagi cadangan penggubalan RUU PSB ini pada 14 ogos 2024, selain pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi di Parlimen pada 17 Oktober depan, khusus untuk mendapatkan pandangan dan ahli-ahli parlimen di dalam JKPK”, katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkenaan kajian dan analisis kementerian itu berhubung penggubalan akta pembaharuan semula bandar.

Mengulas aspek perlindungan hak pemilik hartanah terlibat, beliau berkata, draf RUU itu telah mengambil kira peruntukan khusus mengenainya yang mana kerajaan akan berunding dengan pemilik serta badan pelaksana lain sehinggalah semua pihak bersetuju dengan syarat diberikan.

Pihaknya juga menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan negeri bagi memastikan pemaju yang layak mempunyai kompetensi dan prospek pelaksanaan PSB.

Berdasarkan ‘Regulatory impact analysis (RIA), penggubalan akta PSB berpaksikan 10 prinsip pembaharuan semula bandar termasuk, persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, penempatan sementara yang kondusif serta penambahbaikan penggunaan teknologi.

Penggubalan akta ini diyakini dapat menyokong serta memenuhi rancangan negara ke arah memastikan kemampanan bandar dan kesejahteraan rakyat secara seimbang dan saksama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini