LANGKAWI: Pasukan aerobatik Russian Knights kembali menghiburkan pengunjung pada LIMA 2023 edisi ke-16.
Komander Pasukan itu, Lt Kol Alekseev Andrey, berkata pasukan itu berbesar hati dan gembira selepas diundang penganjur untuk beraksi di ruang udara negara ini, khususnya Langkawi bersama empat pasukan aerobatik lain.
“Kami teruja untuk kembali membuat persembahan di langit Malaysia selepas mengambil bahagian secara tradisi dalam pertunjukan udara pada LIMA sejak 2013.
“Kali terakhir beraksi di sini pada 2019, datang kali ini untuk bertemu rakan (aerobatik lain) dan menghiburkan pengunjung,” katanya pada sidang media di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.
Alekseev berkata, bagi menyertai LIMA 2023 kali ini, pasukannya disertai 75 kru termasuk 10 juruterbang yang berpengalaman mengendalikan jet pejuang SU-35S bagi melakukan aksi maneuver.
“Bagaimanapun, ketika mengadakan pertunjukan udara, pasukan kami hanya menggunakan enam pilot dan sepanjang beraksi kami melakukan 25 formasi menggunakan jet pejuang SU-35S.”
Pertunjukan udara pasukannya dilakukan secara profesional sama seperti empat pasukan aerobatik lain termasuk Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), August 1st (China) dan Al-Fursan (UAE).
Alekseev turut menyifatkan edisi terbaru LIMA kali ini lebih baik berikutan penyertaan lebih banyak pasukan aerobatik terkenal dari negara lain.