KUALA KRAI: Keadaan cuaca yang tidak menentu, selain hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) menimbulkan keresahan bagi kebanyakan penduduk di Kampung Pasir Kelang di sini.
Walau bagaimanapun, kebimbangan mereka berasas memandangkan setiap kali hujan akan menyebabkan berlakunya hakisan tebing sungai sekali gus menjejaskan beberapa kediaman penduduk di kampung itu.
Penduduk, Sanusi Mat Noor, 54, berkata masalah hakisan tebing sungai semakin membimbangkan sejak dua tahun kebelakangan ini menyebabkan penduduk tidak dapat tidur lena terutama pada musim tengkujuh.
Katanya, banjir berlaku pada musim tengkujuh memburukkan lagi keadaan disebabkan jarak beberapa kediaman penduduk terlalu hampir dengan tebing sungai.
“Terdapat banyak kesan hakisan kecil yang menjadi tempat aliran air dan lama-kelamaan hakisan ini menjadi semakin serius.
“Justeru, bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini atau mengancam nyawa penduduk, saya minta pihak berwajib supaya meletakkan penghadang yang kukuh bagi mengurangkan kesan gelongsoran tanah apabila hujan.
“Saya bimbang jika tindakan segera tidak diambil, besar kemungkinan akan berlaku pergerakan tanah secara mendadak terutama pada waktu hujan sehingga merobohkan rumah penduduk yang berada berhampiran dengan tebing sungai,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Kelang.
Seorang lagi penduduk, Mohd Firdaus Naqiuddin Zawawi, 21, berkata kedudukan rumahnya berhampiran Sungai Pasir Kelang, sememangnya terdedah dengan kejadian hakisan tebing apabila berlakunya banjir.
“Kedudukan rumah kurang 10 meter daripada tebing sungai menjadi kebimbangan buat saya sekeluarga terutama musim tengkujuh.
“Saya buntu untuk mengadu kepada siapa berhubung masalah ini dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh kembali melanda sebelum sesuatu lebih buruk berlaku,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.