KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri memasang pita keselamatan di sekeliling lokasi runtuhan di tebing Sungai Kelantan berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama, di sini.
Langkah itu bagi mengelak orang ramai mendekati lokasi runtuhan memandangkan tinjauan mendapati masih ada orang awam mengunjungi kawasan terbabit, terutama selepas foto runtuhan tular di media sosial sejak semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata sebagai langkah tambahan pihaknya akan melakukan pemantauan berkala di lokasi runtuhan itu, dengan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu diarah memantau kerana dikhuatiri berlaku pergerakan tanah susulan.
“Setakat ini keadaan di lokasi terkawal… kita sudah letakkan pita keselamatan di sekeliling kawasan runtuhan bagi mengelakkan orang awam melintasi kawasan berisiko berkenaan.
“Kejadian yang berlaku semalam itu tidak membabitkan mangsa, namun kami sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati lokasi di sekitar runtuhan kerana bimbang masih ada pergerakan tanah,” katanya ketika dihubungi.
Media semalam melaporkan runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan, menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.
Sementara itu, pemilik D’ Ridel Cafe, Muhammad Adam Luqman Mazlan, 26, memaklumkan kejadian semalam adalah yang pertama sepanjang 10 tahun dia berniaga di lokasi itu.
“Saya bimbang berikutan jarak lokasi runtuhan dengan kedai makan saya hanya 200 meter.
“Setakat ini tidak ada lagi arahan daripada pihak berkuasa untuk menutup kawasan sekitar dengan runtuhan tebing itu,” katanya berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian luar jangka, ditambah pula pada musim tengkujuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.