comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah transit PATI dari Bangladesh digempur polis

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

JOHOR BAHRU: Menerusi bayaran kira-kira RM20,000, seorang migran Bangladesh yang transit di Singapura akan dibawa masuk dengan cara berjalan kaki melalui Tambak Johor dari negara jiran itu ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Migran berkenaan kemudian ditempatkan di sebuah rumah di Taman Daya, di sini, sebagai premis transit sebelum ke destinasi tertentu.

Itu modus operandi digunakan sindiket penyeludupan migran didalangi warga tempatan dan Bangladesh yang berjaya dibongkar polis selepas menyerbu rumah terbabit 9 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan jam 5.30 pagi itu dibuat hasil maklumat dan risikan polis berkait aktiviti penyeludupan migran sekitar Tambak Johor yang dikesan aktif sejak Ogos lalu.

Katanya, hasil serbuan mendapati kediaman berkenaan dijadikan rumah transit bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum mereka ke destinasi tertentu.

“Dalam serbuan itu, seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing yang berperanan sebagai pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu berjaya ditahan.

“Selain itu, 21 lelaki warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 44 tahun juga ditahan. Siasatan awal mendapati, migran dari Bangladesh dengan membayar kira-kira RM20,000 dan awalnya diurus ejen di negara berkenaan.

“Mereka kemudian transit di Lapangan Terbang Changi, Singapura dan selepas itu diuruskan oleh ejen sindiket untuk masuk Malaysia dengan cara berjalan kaki melalui laluan terpencil menuju ke BSI.

“Seterusnya, akan diambil oleh transporter untuk dihantar ke rumah penampungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis merampas, 25 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 pasport Bangladesh, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Singapura dan Bangladesh, masing-masing RM1,200, SG$2 dan Taka 5,460.

Selain itu, satu kad ATM, satu surat perjanjian pinjaman kereta, serangkai anak kunci premis, masing-masing sebuah Perodua Axia dan Myvi serta alat kawalan jauh kereta.

“Kumpulan 21 migran itu sudah dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 23 September lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan sebutan semula 13 Oktober ini.

“Empat individu lagi, pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu akan dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini