KOTA KINABALU: Seramai 65 isi rumah daripada 17 keluarga diuji pada Ramadan dalam kejadian 10 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah, Likas di sini, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika beberapa keluarga baru sahaja terjaga untuk menyediakan juadah bersahur sekitar jam 3 pagi.
Mangsa kebakaran, Azwan Mailan, 37, berkata, ketika kejadian dia terjaga untuk bangun bersahur namun terasa panas.
“Ingat disebabkan cuaca panas, lalu saya bangun dan melihat api marak di bahagian depan rumah.
“Tanpa berlengah, saya segera mengejutkan isteri dan adik beradik lain untuk keluar rumah. Tiada apa yang dapat diselamatkan semuanya musnah. Rumah bapa dan abang saya juga turut musnah,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 3.11 pagi.
“Kebakaran membabitkan 10 rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi terkawal jam 4.16 pagi.
“Operasi ditamatkan jam 6.49 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.