KOTA BHARU: Lima beranak dari Kampung Badang, Jalan PCB di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar.
Kejadian berlaku jam 3 petang tadi apabila Norhayati Ibrahim, 41, bersama suami dan tiga anak mereka berada di dapur dan ternampak cahaya dari bilik tidur mereka.
Norhayati berkata sebelum kejadian, dia dan suami, Zamzuri Jusoh, 47, baharu selesai membuat kerja mencanting batik di hadapan rumah sebelum dia masuk untuk memasak.
“Selepas siap memasak, kami sekeluarga ingin menjamah makan tengah hari dan tiba-tiba ternampak cahaya terang dari bilik tidur.”
“Sebaik sedar cahaya itu rupanya api yang sedang marak, saya dan suami terus mendukung serta mengheret tiga anak keluar dari rumah tanpa sempat mencapai apa-apa kecuali beg sandang saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Norhayati berkata jiran tetangga ada juga cuba membantu memadamkan api namun gagal kerana api terlalu marak sehingga rumah sewa yang dihuni mereka serta sebuah lagi kediaman hangus dalam masa yang singkat.
Katanya lagi, dua motosikal milik suami dan anak hangus dan lebih menyedihkan mereka, kelengkapan sekolah serta baju raya yang baharu sahaja dibeli juga tidak dapat diselamatkan.
“Enam pasang baju raya warna sedondon kami beli melalui dalam talian dan baharu sahaja sampai tengah hari tadi malah tiga anak sempat mencubanya.”
“Saya juga sudah menyediakan kelengkapan persekolahan dua anak malah mereka juga baharu menerima buku teks sebelum tamat persekolahan baru-baru ini tapi kami diuji dengan musibah sebegini,” katanya.
Jelas Norhayati yang sudah 15 tahun menyewa rumah berkenaan, mereka kini buntu untuk mencari rumah sewa baharu kerana kadar sewa di sekitar kawasan itu agak mahal berbanding rumah sewa lama ini yang hanya RM150 sebulan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.06 petang dan seramai 26 pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dengan kebakaran hampir 80 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal jam 4.03 petang dan padam sepenuhnya setengah jam selepas itu manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.