comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah terbakar, dua remaja, kanak-kanak ditemui cedera panjat bumbung

Kebakaran tiga rumah teres di Jalan Bakti 57, Taman Mutiara Rini, Skudai petang semalam. -FOTO: Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Dua remaja dan seorang kanak-kanak ditemui di atas bumbung rumah selepas cedera akibat tiga rumah terbakar di Jalan Bakti 57, Taman Mutiara Rini, Skudai, semalam.

Mereka, Nur Hidayah Amir Hamzah, 19; Nur Syazliana Shamsudin, 18 dan adiknya, Muhamad Shahrukhan, 8, diselamatkan anggota bomba yang menerima maklumat kejadian pada 3.18 petang.

Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamalrulzaman Salleh berkata, pihaknya menggunakan tangga untuk menyelamatkan remaja dan kanak-kanak itu serta memberi rawatan awal.

“Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan tiga rumah teres berstruktur kekal yang mana dua rumah musnah kira-kira 50 peratus, manakala sebuah lagi musnah 15 peratus.

“Kebakaran turut memusnahkan motosikal Yamaha LC135 sebanyak 30 peratus dan Suzuki Belang (30 peratus) serta SYM110 (30 peratus),” katanya.

Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Operasi ditamatkan pada 5.11 petang.

Loading...
Terkini