SUNGAI PETANI: Kejadian kebakaran membabitkan 13 rumah di Tanjung Dawai di sini, semalam, tidak membabitkan rumah di bawah program Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
KEDA dalam kenyataannya hari ini berkata, terdapat ralat dalam pemakluman tragedi berkenaan berikutan rumah itu tidak diselia agensi berkenaan seperti didakwa.
“Untuk makluman, terdapat ralat dalam pemakluman tragedi ini yang mana rumah terbakar itu bukan berada di bawah Desa KEDA.
“Sejumlah 30 unit rumah di Perumahan KEDA Tanjung Dawai yang berada bersebelahan lokasi kebakaran juga sudah diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 27 Oktober 2013.
“Justeru, KEDA kini tidak terbabit dengan urusan perumahan itu kerana ia dikawal selia sepenuhnya oleh LKIM termasuk hal ehwal penukaran hak milik rumah kepada peserta,” katanya.
Bagaimanapun, KEDA merakamkan rasa dukacita atas tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki cedera dan majoriti penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Dalam kejadian pagi semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya 13 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Keda, Tanjung Dawai.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 30-an melecur pada kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.28 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.