MARANG: Seorang lelaki berusia 37 tahun melecur pada bahagian muka dan tangan selepas kediamannya di Taman Emas Murni, Sungai Kerak di sini terbakar petang tadi.
Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata kejadian berlaku kira-kira 6 petang dan dipercayai berpunca daripada litar pintas pada suis penyaman udara.
Beliau berkata, saksi memberitahu berlaku letupan kuat dari arah kediaman mangsa sebelum berlakunya kebakaran.
“Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang telah menerima panggilan pada 6.17 petang tadi melalui talian kecemasan MERS999. Kebakaran berlaku kira-kira 6 petang dan api dapat dikawal 40 minit kemudian.
“Mangsa mengalami luka kebakaran tahap dua dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Sofian berkata, setakat ini pihak bomba mengklasifikasikan kes sebagai kebakaran bangunan bagaimanapun siasatan terperinci akan dilakukan untuk mengesan sekiranya wujud unsur mencurigakan atau khianat. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.