comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah reput akibat banjir, tandas rosak terpaksa ‘lepas hajat’ dalam semak

FOTO: NSTP

TUMPAT: Selepas saban tahun dilanda banjir, dinding dan lantai rumah dihuni lima beranak di Kampung Teluk Jering di sini menjadi semakin reput sehingga tidak selamat didiami.

Bukan sahaja ruang dalam rumah ditampal dengan plastik untuk menghalang hujan dan panas berikutan dinding sudah terkopak, tingkap tidak mempunyai cermin malah mereka tidak tidak mempunyai tandas yang sempurna dan hanya ‘melepaskan hajat’ dalam semak.

Namun Marzuki Loke Chai @ Mohamad, 42, tidak mempunyai pilihan lain kerana tiada sumber kewangan untuk membaiki keadaan rumah pusaka milik keluarga isterinya, Norliza Ya, 39.

Selain mempunyai tiga anak berusia dua tahun hingga 14 tahun, Marzuki turut menjaga ibunya Nik Mek Nik Wel, 70, yang terlantar akibat strok dan masalah mata.

Marzuki berkata, setiap ceruk bahagian rumah sudah mulai reput manakala satu bilik serta dapur yang menempatkan bilik air sudah tidak boleh digunakan malah kesan dinaiki air ketika banjir baru-baru ini juga masih jelas kelihatan.

FOTO: NSTP

Dia yang menyara keluarga dengan membaiki peralatan elektrik hanya mampu memperoleh RM10 hingga RM20 sahaja dan pendapatan tidak menentu malah anak sulungnya, Muhammad Haikal Daniel, 14, juga tidak ke sekolah sejak dua tahun lalu berikutan kekangan kewangan.

“Kami sudah biasa terputus bekalan makanan. Nasib baik ibu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk pembelian susu dan lampin pakai buang untuk kegunaannya,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kajang Sebidang/Teluk Jering yang diwakili Mohamad Raduan Mohamad yang tampil bertanya khabar dan menyampaikan barangan keperluan.

Marzuki boleh dihubungi di talian 0179122827.

Loading...
Terkini