comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah pusaka hangus terbakar, tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang

KUALA TERENGGANU: Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka di Kampung Pengadang Baru, di sini,hangus dalam kebakaran, 5 petang tadi.

Mangsa, Muhammad Saiful Hanafi Ghazali, 25, berkata, ketika kejadian dia berada di beranda rumah sedang bersembang bersama adik-beradik.

Katanya, ketika bersembang, dia naik ke tingkat atas untuk mengambil telefon bimbit yang sedang dicas dalam bilik tidurnya.

Dia terkejut melihat api yang ketika itu sudah membakar bahagian dinding bilik tidur kakaknya sebelum memberitahu adik-beradiknya yang berada di beranda rumah.

“Saya kemudian segera mengambil air untuk cuba memadamkan api yang membakar bahagian dinding dan siling.

 

“Bimbang terperangkap saya segera turun ke bawah selepas melihat bara api bertaburan seperti hujan dalam bilik tidur kakak selain berlaku beberapa letupan kecil.

“Saya segera meminta kakak menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan keluarga terbabit kerugian sebanyak RM200,000 apabila semua barangan dalam rumah termasuk pakaian, perabut dan barangan elektrik serta sebuah motosikal hangus.

Sementara itu, ibu Muhammad Saiful Hanafi, Meriam Mat Zain, 69, berkata, ketika kejadian dia berada di bandar kerana menemani cucu membuat urusan di sebuah bank.

“Saya keluar rumah jam 3.50 petang. Selepas selesai urusan bank, saya singgah di rumah kawan di Kampung Losong, di sini, sebelum anak telefon memberitahu rumah terbakar.

“Saya segera pulang dan sedih melihat rumah pusaka mentua yang kami duduk sejak 1983 hangus sekelip mata.

“Kini kami tinggal sehelai sepinggang, namun bersyukur kerana anak dan cucu selamat yang mana ketika kejadian mereka berada di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sujurus menerima panggilan kebakaran, seramai 22 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal yang sudah hangus 80 peratus.

“Anggota terus melakukan pemadaman bagi menyelamatkan empat buah rumah berhampiran daripada terbakar,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini