KOTA KINABALU: Ibu tunggal, Foo Yen Ling @ Julie Foo menyifatkan pemberian rumah mengikut Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada keluarganya sebagai hadiah terbesar pernah diterimanya.
Apa tah lagi kerana mereka akan Tahun Baharu Cina pada penghujung minggu ini.
Beliau yang bersyukur dengan pemberian itu, turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah kerana prihatin terhadap golongan memerlukan.
Ibu tunggal dua anak perempuan itu berkata dia menghantar permohonan mendapatkan kemudahan rumah PPR sejak 20 tahun lalu.
“Saya sudah 20 tahun menunggu kelulusan permohonan itu. Impian saya dan keluarga menduduki rumah yang selesa sudah tercapai yang memberi sinar harapan baharu kepada kepada kami,” katanya.
Tambah Foo, dia juga amat berterima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ronnie Loh yang banyak membantunya sehingga dia berjaya menduduki rumah itu sejak 25 Januari lalu.
Difahamkan, sewa rumah PPR itu hanya RM160 sebulan, sekaligus mampu mengurangkan beban ibu tunggal berkenaan.
Sebelum ini, Foo, 53, dan dua anak perempuannya tinggal di sebuah rumah sempit yang disewa RM500 sebulan.
Sementara itu, Ronnie berkata beliau gembira dengan bantuan yang dapat dihulurkannya kerana selain berstatus ibu tunggal, Foo juga mengalami strok ringan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.