KUALA LUMPUR: Skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman.
”Kerajaan mendengar keluh kesah rakyat berkaitan hasrat untuk memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.
”Jaminan 120 peratus akan membolehkan semua kos-kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta
pembelian perabut dan kos ubahsuai”, ujarnya.
Justeru, beliau mengumumkan jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.
Anwar berucap pada majlis pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, di sini, hari ini.