comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah pelacuran diserbu, kanak-kanak & bayi 11 bulan diselamatkan 

KUALA LANGAT: Seorang wanita warga tempatan dan kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan polis hasil serbuan di sebuah lot kedai yang dijadikan rumah pelacuran di Banting dekat sini, semalam.

Turut diselamatkan adalah bayi perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lot kedai itu diserbu pada jam 3.30 petang selepas pemerhatian dilakukan selama 30 minit oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

“Semasa serbuan dilakukan, didapati premis berkenaan telah diubah suai dan dijadikan empat bilik dengan menggunakan langsir.

“Ketika serbuan polis menahan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang berperanan sebagai ‘ibu ayam’ serta dua wanita warga asing berusia 57 dan 45 tahun dipercayai pelacur.

“Hasil serbuan juga menyelamatkan seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun; seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang disyaki dipaksa melacur; seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan bayi perempuan berusia 11 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayi berkenaan adalah anak kepada wanita yang diselamatkan manakala polis masih menyiasat status dua lagi kanak-kanak.

Siasatan awal katanya mendapati aktiviti pelacuran di lot kedai itu aktif sejak dua bulan lalu dan mensasarkan warga asing sebagai pelanggan.

Ahmad Ridhwan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini