Tumpuan :
Nasional

Rumah panjang terbakar, 350 penghuni terjejas

FOTO: JBPM

BINTULU: Seramai 350 penghuni dari 23 keluarga di rumah panjang Tuai Rumah Nora Bulin di Sungai Teban Labang Jalan Bintulu-Bakun hilang tempat berteduh selepas rumah panjang yang didiami musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataannya berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 3.32 petang.

“Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan struktur satu blok rumah panjang jenis tidak kekal itu,” katanya.

Bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air yang mana sumber air diperoleh dari air parit berdekatan.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam bagi memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal pada jam 5 petang.

Menurutnya tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya menyelamatkan diri.

Bagaimanapun sebuah lagi blok rumah panjang yang terletak bertentangan dapat diselamatkan dari musnah terbakar.

Setakat ini katanya, punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penghuni masih lagi dalam siasatan.

Semua mangsa terjejas tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini