MIRI: Kegembiraan 21 keluarga dari rumah panjang Tuai Rumah Chengki di Jalan Skim Rancangan Sepupuk di Batu Niah menyambut tahun baharu bertukar duka selepas rumah panjang didiami musnah dalam kebakaran petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 4.25 petang.
“Sejurus sampai, api sedang marak memusnahkan satu blok rumah panjang jenis separa kekal yang mana sekitar 80 peratus sudah ranap dalam kebakaran.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja memadam kebakaran yang mana sumber air diperoleh dari pam jentera bomba.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya hampir dua jam, dengan pasukan bomba masih menjalankan kerja penyejukan di kawasan kebakaran bagi mengelak kebakaran berulang dan merebak ke kawasan berdekatan,” katanya.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku, dengan semua mangsa kini menumpang di rumah saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.