Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Rumah-rumah Negeri yang dibina pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dipertimbang untuk dikekalkan menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
“Ada permintaan daripada Ahmad Zahid agar beberapa Rumah-rumah Negeri yang telah dibina di sekitar pekarangan kawasan MAHA itu dipertimbangkan untuk dikekalkan memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan dan mungkin boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi-delegasi ASEAN untuk mereka melihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, Perdana Menteri sangat teruja dengan penganjuran dan kehadiran pengunjung pada MAHA 2024.
Acara yang berlangsung pada 11 hingga 22 September itu menjadi ekspo pertanian terbesar yang berjaya menarik lebih 5.5 juta pengunjung dan nilai jualan langsung melebihi RM48.5 juta serta nilai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) lebih RM7.2 bilion.
“Ini pencapaian yang sangat-sangat baik,” katanya sambil menambah Jemaah Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di atas kejayaan penganjuran program tersebut.