Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rumah Mesra Rakyat: Pendapatan isi rumah RM5,000 kini layak mohon 

 

KUALA LUMPUR: Pendapatan bulanan isi rumah RM5000 kini boleh memohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) selepas kerajaan menaikkan had kelayakan itu daripada RM3,000 sebelum ini.

Langkah itu kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk membuat permohonan.

FOTO: SPNB/ Facebook

“Bagi menangani isu peningkatan harga barang asas binaan yang tidak menentu, beberapa langkah proaktif diambil untuk memastikan harga sebuah unit RMR yang perlu dibayar pemohon baharu terus kekal dengan harga subsidi dari kerajaan.

“Harga itu bermula RM55,000 sehingga RM75,000 mengikut kategori masing-masing…program RMR akan terus mendapat pengekalan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah.

“Ini bermakna bayaran bulanan untuk program RMR kekal seperti sedia kala, iaitu serendah RM300 sebulan selama 16 hingga 25 tahun,” katanya, di sini hari ini.

Kor Ming (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Terdahulu, Kor Ming menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah kepada 40 penerima RMR bagi negeri Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Majlis sama turut berlangsung di seluruh negara membabitkan 180 penerima secara keseluruhannya.

Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan sasar yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri yang sempurna dan selesa.

Kor Ming berkata, sebanyak 56,002 unit RMR berjaya dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sehingga Mac lalu sejak diperkenalkan pada 2002.

Pada tahun ini, katanya,  4,250 unit RMR di seluruh negara dijangka dibina dengan peruntukan RM358 juta .

Dalam majlis sama, SPNB turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pertubuhan Pembangunan Kebajikan Darul Ilmi Malaysia, Gombak, Selangor sebagai satu daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.

Loading...
Terkini