MERSING: Tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran melibatkan rumah kedai separa kekal di Kampung Gajah Mati, Mersing, Johor, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Abdul Mu’iz Mukhtar berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 3.47 pagi.
Setiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan dipercayai 80 peratus struktur rumah kedai itu telah terbakar.
Kebakaran dapat dikawal jam 6:40 pagi.
Enam daripada tujuh kenderaan yang hangus terbakar adalah motosikal pelbagai jenis termasuk Yamaha dan Modenas Kriss.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.