RANAU: Sebuah rumah inap di Kundasang, di sini, ranap akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat, hari ini.
Kejadian jam 5.30 petang itu tidak membabitkan kehilangan nyawa berikutan tiada penghuni ketika kejadian itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.32 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati berlaku kejadian tanah runtuh dan menyebabkan kerosakan sebuah ‘homestay’.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan tindakan pasukan bomba membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menasihatkan penduduk di sekitar untuk berpindah ke tempat selamat.
Sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau turut berada di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.