| Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus terbakar di Kampung Serkam Darat, Jasin di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, ketiga-tiga beranak iaitu seorang warga emas berusia 70 tahun dan dua anak lelakinya berusia antara 20 hingga 30 tahun terselamat apabila sempat keluar dari rumah ketika kejadian.
Komander Operasi, Penguasa Pegawai Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata, ketika kejadian, tiga beranak terbabit sedang nyenyak tidur.
“Difahamkan salah seorang anak lelaki terbabit terjaga selepas terhidu bau hangit di dalam rumahnya.
‘Selepas menyedari api semakin marak anak lelaki berkenaan mengejutkan ibu dan seorang lagi anak lelaki sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan .
Menurut Mohd Farid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 pagi sebelum 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau dan Jasin Bestari bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian kita dapati terdapat sebuah rumah separuh kekal sedang terbakar sebanyak 90 peratus,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 5.11 pagi dan operasi pemadaman berakhir jam 8.45 pagi,” tambahnya.