Tumpuan :
Nasional

Rumah dipecah masuk, polis ambil keterangan ahli perniagaan wanita

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menerima replika sumbangan daripada Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim pada Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid Darjah Satu Kontinjen Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan ahli perniagaan dan pempengaruh wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk di rumahnya di Padang Balang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumput, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti suspek terlibat.

“Kes masih baharu lagi, kita akan siasat semua kemungkinan dan juga akan memanggil ahli keluarga lain untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan murid darjah satu Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bersama timbalannya, Datuk Azry Akmar Ayob bergambar bersama penerima pada Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid Darjah Satu Kontinjen Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

Hadir sama, Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Syed Mohamed Sani Syed Kamarulbahrim.

Semalam media melaporkan wanita terbabit kerugian RM3.5 juta selepas rumahnya di Padang Balang, Sentul dipecah masuk dan peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata beberapa buah beg tangan pelbagai jenama milik mangsa turut lesap.

Kejadian berlaku antara jam 10 malam dan 12 tengah malam Ahad lalu.

Katanya, ketika rumah itu dipecah masuk penghuninya tiada di rumah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini