Oleh: Kumaran Rajamoney
BATU GAJAH: Pekan Papan yang suatu ketika dahulu menjadi pusat perlombongan bijih timah terbesar di Lembah Kinta kini mengalami ‘kebangkitan semula’ sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah atau ‘histourism’.
Antara tarikan utama di pekan kecil ini adalah Rumah Besar Raja Bilah yang dibina pada tahun 1896 dan menjadi simbol kegemilangan sosioekonomi di kawasan itu pada abad ke-19.
Rumah itu dibangunkan oleh Raja Bilah, seorang pemimpin masyarakat Melayu Mandailing untuk dijadikan pusat ketamadunan bagi menyemarak perkembangan politik, ekonomi, dan sosial.
Presiden Persatuan Warisan Perak (PHS), Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata, bangunan berusia 129 tahun itu wajar dijadikan bahan rujukan kepada generasi muda bagi mengenali warisan sejarah seperti seni bina, kepercayaan, serta adat resam masyarakat Mandailing.
Justeru, sebuah papan tanda didirikan bagi menyediakan informasi mengenai Rumah Besar Raja Bilah.
Langkah ini adalah sebahagian daripada kesinambungan program pelestarian warisan “Papan Pekan Warisan” yang telah dijalankan dengan kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, waris keluarga Raja Bilah, serta Komuniti Warisan Papan.
Dengan adanya inisiatif ini, warisan sejarah Pekan Papan dapat didokumentasikan dengan lebih sistematik dan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda, agensi kerajaan, serta penduduk tempatan.
“Bila ada informasi, pihak yang berminat akan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai rumah ini dan sejarah yang berkait dengannya. Barangkali ia menarik minat keturunan Mandailing dari Indonesia untuk mengetahui cambahan adat dan budaya di Malaysia.
“Pembangunan ini kelak akan turut memanfaatkan penduduk di Pekan Papan ini, yang boleh juga mengangkat cerita sejarah lain termasuk Klinik Karhigasu dan Kampung Baru Cina,” katanya.
Rumah ini menerapkan corak ukiran flora dan fauna yang boleh dijadikan bahan kajian bagi mengetahui sejarah senibina masa lalu.
Piut Raja Bilah, Aziah Abdullah, 47, bagaimanapun menyifatkan bangunan itu semakin uzur dan memerlukan penyelenggaraan berterusan.
“Kosnya agak tinggi mencapai ribuan ringgit. Kami mempunyai keupayaan kewangan yang terhad kerana kawasan ini terlalu besar.
“Sudah tentu kami mengharapkan dengan adanya promosi, akan ada pihak yang tampil untuk membantu melakukan pembaikan dan penyelenggaraan supaya warisan masyarakat Melayu Mandailing ini boleh dijadikan tatapan sejarah kepada generasi akan datang,” katanya.
Rumah Besar Raja Bilah katanya menjadi lokasi dimana aktiviti komuniti diadakan termasuk bagi tujuan kenduri-kendara, selain kawasan sekitarnya menempatkan perumahan keluarga.
Lokasi itu juga menempatkan sebuah masjid, rumah imam serta tanah perkuburan pemimpin agama di Pekan Papan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.