Tumpuan :
Nasional

Rumah Belia MADANI bantu orang muda mula kerja di ibu negara

Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia (Rumah Belia MADANI) ditandatangani antara Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib (kanan) dan Pengarah Eksekutif BMG Global Sdn Bhd, Sakeri Maming, disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. – FOTO: Ihsan KPKT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memeterai Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia (Rumah Belia MADANI) dengan syarikat pemaju bagi penyediaan 1,048 unit Rumah Belia MADANI (RBM) di ibu negara.

RBM ditawarkan secara transit (sewaan) untuk sekurang-kurangnya dua tahun dan boleh diperbaharui bergantung kelayakan kepada belia berusia di bawah 35 tahun yang baru memulakan kerjaya dengan pendapatan minimum.

Perjanjian ditandatangani antara Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah Eksekutif BMG Global Sdn Bhd (BMG Global), Sakeri Maming disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal Nasrullah berkata projek RBM akan dibangunkan secara subsidi silang oleh kementerian bersama BMG Global yang akan membangunkan 1,996 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dengan tawaran harga RM300,000 kepada rakyat khususnya bagi kumpulan M40.

“Melalui keuntungan daripada hasil jualan, pemaju akan membina 1,048 unit rumah RBM secara percuma iaitu pulangan timbal balik kepada kerajaan iaitu 35 peratus daripada keseluruhan unit rumah yang akan dibina.

“Projek ini akan memberikan impak positif kepada kerajaan melalui penyediaan 3,044 unit rumah yang akan dibangunkan di atas tanah kerajaan berkeluasan 12.8 ekar di Kuala Lumpur. Keseluruhan kos pemajuan ini akan ditanggung oleh pihak pemaju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata penjenamaan ‘Rumah Belia MADANI’ adalah cetusan idea dalam menyokong konsep Malaysia MADANI yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Beliau berkata kerajaan amat menyedari keperitan dan rintihan golongan muda terutamanya yang baru membina kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Oleh itu, golongan yang layak menduduki RBM akan ditawarkan secara transit (sewaan) untuk suatu tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan boleh diperbaharui bergantung kepada kelayakan.

“Inisiatif ini akan memberi keutamaan kepada golongan belia yang berusia di bawah 35 tahun yang baru memulakan kerjaya dengan pendapatan yang minimum.

“KPKT berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan bagi tempoh tertentu yang dirasakan cukup oleh kerajaan sebelum individu berkenaan mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta agensi kerajaan lain yang terbabit dalam menjayakan cadangan pembangunan itu.

Katanya, KPKT sentiasa peka dengan isu penyediaan rumah mampu milik terutama dalam kalangan golongan muda.

“Ini seiring dengan peranan KPKT dalam memastikan perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing yang menjadi salah satu daripada tujuh fokus utama yang digariskan KPKT,” katanya.

Loading...
Terkini