Tumpuan :
Nasional

Rumah bekas pegawai kanan PM ke-9 diserbu, lebih RM100 juta disita

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST), wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.

Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberaa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan berkaitan dengan dana politik.

Sumber itu berkata, siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan terhadap dana yang dirampas.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat orang yang berkhidmat sebagai pegawai kanan Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini