![](https://media.buletintv3.my/2025/02/DE0D6CAC-E477-4212-A96E-FACDEDCB2E21.jpeg)
KOTA BHARU: Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah kira-kira 70 peratus dalam satu kebakaran di Kampung Padang Enggang, di sini, jam 8 malam tadi.
Barangan kemas dianggarkan bernilai RM40,000 dan wang tunai RM4,000 turut hangus.
Mangsa, Fauzi Che Man, 67, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan ibu serta bapa mentua berada di dapur sedang menonton televisyen.
“Saya tiba-tiba terdengar letupan di luar rumah dan menyangkakan ia bunyi mercun namun tidak lama kemudian, saya ternampak bayangan api dari luar.
“Saya bergegas keluar dan sangat terperanjat melihat api sedang marak di meter elektrik sebelum mengarahkan isteri dan kedua-dua mentua keluar dari rumah.
“Kami keluar sehelai sepinggang dan saya hanya sempat mencapai beg duit serta telefon bimbit sahaja kerana api semakin marak dan kebakaran berlaku sangat pantas,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.
Fauzi berkata, dia juga sempat mengalihkan dua kereta di halaman rumah ke tempat selamat namun teringat bahawa ada menyimpan sejumlah wang tunai di bilik tidur.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/B1B08ECF-2A22-4ABC-8684-8AA6079BE7A0.jpeg)
Bagaimanapun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak dan paling terkilan apabila barang kemas milik isterinya yang dianggarkan bernilai RM40,000 juga hangus dalam kebakaran itu.
“Sedih memang sedih tapi nasib baik nyawa kami masih panjang namun keluarga masih lagi trauma terutama kedua mentua,” katanya sambil memberitahu anggaran kerugian yang dialami mencecah RM300,000.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.02 malam berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, seramai 15 pegawai dan anggota dari BBP Tunjong serta Kota Darul Naim hadir dalam operasi pemadaman.
“Api dapat dikawal setengah jam kemudian dan padam sepenuhnya jam 9.55 malam. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.