comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah baharu majoriti harga lebih RM300,000

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kebanyakan rumah baharu yang dilancar sepanjang tiga bulan pertama tahun ini majoritinya berharga melebihi RM300,000 hingga lebih RM1 juta seunit.

Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, hampir 75 peratus atau 3,468 daripada 4,661 rumah baharu yang dilancarkan sepanjang suku pertama tahun ini adalah berharga antara RM300,001 hingga lebih RM1 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, 31.8 peratus atau 1,482 rumah baharu berharga RM300,001 hingga RM500,000; 35.7 peratus atau 1,663 unit berharga RM500,001 hingga RM1 juta; dan 6.9 peratus atau 323 unit berharga lebih RM1 juta.

Jelasnya, hanya 25.6 peratus atau 1,193 unit rumah baharu yang diluluskan dalam tempoh berkenaan adalah rumah mampu milik berharga di bawah RM300,000.

“Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi suku pertama tahun ini, bilangan unit rumah baharu dilancar adalah berjumlah 4,661 unit.

“Daripada jumlah itu, 3,985 unit atau 85.5 peratus adalah rumah jenis bertanah dan 676 unit atau 14.5 peratus adalah rumah jenis bertingkat.

“Tiga negeri dengan jumlah unit rumah baharu dilancar tertinggi pada suku pertama 2023 adalah Johor (2,077), Selangor (791) dan Pahang (700),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan berapa bilangan keseluruhan unit hartanah perumahan di seluruh Malaysia pada tahun ini mengikut perincian harta tanah dan strata.

Dasar kerajaan ketika ini menetapkan Kerajaan menetapkan harga rumah mampu milik maksimum diseluruh negara adalah RM300,000.

Mengulas lanjut, Kor Ming memaklumkan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 merekodkan terdapat 9.6 juta unit kediaman di Malaysia.

“Ini adalah peningkatan berbanding 7.3 juta unit kediaman seperti dilaporkan dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010,” katanya.

Loading...
Terkini