Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Lima cita-cita dan prinsip Rukun Negara bertindak sebagai tiang seri dan perpaduan hidup masyarakat berbilang bangsa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia harus dijadikan fomula mujarab untuk menangani pelbagai krisis yang berlaku dalam masayarakat.
Justeru kerajaan ujarnya telah bersetuju agar sesi lafaz ikrar Rukun Negara dibaca penuh bermula mukadimah 5 cita-cita diikuti 5 prinsip.
Penyelarasan bacaan penuh lafaz ikrar Rukun Negara di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan itu diluluskan Kabinet 25 Julai lalu.
“Penghayatan secara mendalam itu penting kerana ianya boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dan konflik yang berlaku dalam masyarakat kita terutama membabitkan isu-isu sensitif dan perhubungan antara kaum,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Sekolah Tahun 2023, di ibu negara, pagi tadi.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Program itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengalaman 4-P Rukun Negara dalam diri murid agar menjadikannya sebahagian daripada sikap dan tingkah laku seharian.
“Tugas dalam mengharungi cabaran ini perlu dipikul oleh guru yang menjadi ejen atau teladan demi integrasi antara kaum dan perpaduan negara,” tambahnya.
6,849 Kelab Rukun Negara turut ditubuhkan sebagai strategi utama ke arah pengukuhan semangat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan murid pelbagai kaum.
Turut dilancarkan Buku Malaysia Tanah Airku terbitan Arkib Negara Malaysia yang akan diedarkan ke sekolah di seluruh negara sebagai rujukan guru dan pelajar mengenai Rukun Negara.