Tumpuan :
Nasional

Rujuk Mahkamah Syariah untuk permohonan poligami lebih harmoni

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mahkamah Syariah Negeri Johor akan mendengar kepentingan hak dan suara semua pihak sebelum membuat keputusan dalam membenarkan sesuatu permohonan poligami.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara itu bukan sahaja bagi membolehkan Hakim Syarie membuat pertimbangan ke atas keperluan berpoligami, sebaliknya bagi menghormati dan menjaga hati isteri pertama.

Beliau berkata, oleh itu, mana-mana suami yang berhasrat untuk berpoligami adalah dinasihatkan merujuk ke Mahkamah Syariah bagi melalui proses permohonan poligami yang lebih harmoni dan sah dari segi undang-undang.

“Kita mahu masyarakat faham, poligami ini bukan soal mendapat keizinan isteri, tetapi paling tepat adalah keizinan mahkamah dan mendapat perintah mahkamah selepas mahkamah meneliti semua keperluan.

“Jangan takut untuk membuat permohonan secara baik kepada mahkamah dan ini akan menunjukkan bahawa suami itu orang yang sangat adil dan menghormati isteri serta sistem kehakiman.

“Dalam setiap permohonan poligami, isteri pasti akan dimaklumkan sebelum perbicaraan dimulakan. Itu akan mengharmonikan sebarang kerisauan dan sudah pasti mahkamah tidak akan berpihak kepada mana-mana orang dan akan mendengar keperluan orang yang memohon dan juga mendengar suara isteri.

“Sebaik-baiknya, perkara seperti ini (poligami), bawalah ke mahkamah supaya semua hak dan suara pihak-pihak dapat didengar dan biarlah mahkamah yang membuat ketetapan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Johor 2023 di Pusat Islam Iskandar di sini, semalam.

FOTO: NSTP

Turut hadir, Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Halid Sono.

Mohd Fared berkata, bagi 2022, 93 permohonan poligami diluluskan Mahkamah Syariah di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, secara kebiasaanya, mahkamah tidak akan menolak sesuatu permohonan sekiranya segala kriteria dan keperluan dipenuhi, namun perbicaraan akan tetap dilakukan.

“Pihak yang memohon biasanya sudah tahu kriteria yang perlu dipenuhi dan mahkamah bukan dalam posisi untuk menolak permohonan, selagi mana permohonan itu layak untuk dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, 197 peguam syarie berdaftar di negeri ini diberikan sijil pentauliahan.

Loading...
Terkini