TANAH MERAH: Seorang penternak kerugian kira-kira RM15,000 apabila enam lembu peliharaannya mati diserang harimau belang dalam kebun getah di Kampung Perala di sini, semalam.
Kejadian itu disedari Wan Md Seri Wan Ismail, 60, apabila mendapati dua lembunya mati akibat serangan terbabit, manakala empat lagi terpaksa disembelih.
Beliau berkata, ketika ke kebun getah tempat 13 ekor lembu peliharaannya ditambat pada jam 9.30 pagi semalam, dia mendapati pagar kandang pecah namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Sebaik masuk ke dalam kandang, saya dapati seekor lembu kelihatan dalam keadaan diam bagaikan trauma. Keadaan itu agak pelik kerana selama ini semua lembu saya tidak jinak sedemikian rupa, malah ada ketikanya sukar dikawal.
“Hasil pemerhatian lanjut, saya dapati dua lagi lembu terbaring dengan kesan serangan haiwan dan saya pasti ia adalah harimau belang.
“Saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum mereka tiba untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Wan Md Seri berkata, empat lembu yang turut diserang masih hidup tapi terpaksa disembelih dan dagingnya diberikan secara percuma kepada jiran, manakala separuhnya dijual dengan harga yang murah.
Katanya, beliau terpaksa memindahkan baki tujuh ekor lagi lembunya ke kandang lain sementara perangkap selesai dipasang pada hari ini.
“Di kandang sementara ini saya pasangkan lampu dan buat unggun api serta memasang radio dengan kuat bagi mengelakkan harimau mendekati kawasan itu.
“Saya dimaklumkan oleh Perhilitan bahawa serangan itu membabitkan sekumpulan harimau belang yang dipercayai tiga beranak yang merayau mencari makanan.
“Kehadiran harimau belang itu juga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung untuk keluar bekerja terutama penoreh getah yang risau jika terserempak dengan tiga beranak itu,” katanya.