comscore
Tumpuan :
Nasional

Ruang parkir Kompleks Pasar Raja Bot perlu diberi keutamaan – Johari Abdul Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani ditemui media ketika mengadakan lawatan di Kompleks Pasar Raja Bot, ibu negara, hari ini.

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Ruang parkir kenderaan di Kompleks Pasar Raja Bot, Jalan Raja Alang, ibu negara antara isu yang akan diberi keutamaan dalam menyelesaikan kegusaran dalam kalangan peniaga, selain usaha menempatkan perniagaan mereka di fasiliti baharu itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu akan diusulkan dalam pertemuan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat depan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan, isu parkir itu dibangkit memandangkan kesesakan yang berlaku pada fasa transit pasar itu, sekali gus mengurangkan kehadiran pengunjung.

“10 tahun yang lepas mereka bersetuju untuk buat pembangunan tetapi oleh kerana pembangunan ini mengambil masa begitu lama. Banyak daripada pelanggan mereka semua sudah lari. Apabila tempat fasa 2 sudah siap dan mereka dipindahkan ke dalam, tiada orang ingin datang.

“Kenapa tiada orang tidak mahu datang? Pertama, tempat letak kenderaan tiada. Jadi, siapa nak datang ke dalam pasar ni? Selain itu, saya melihat di kawasan ini keutamaannya lebih kepada untuk membuat pembangunan daripada tempat letak kenderaan.

“Justeru, perlu dibuatkan tempat letak kenderaan terlebih dahulu. Kalau tiada di Kuala Lumpur ini macam mana orang mahu datang ke pasar ini. Jadi selepas ini, para penjaja tiada lagi alasan untuk mengatakan bahawa orang tidak datang sebab ketiadaan tempat letak kenderaan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan di Kompleks Pasar Raja Bot, di sini, hari ini.

Terdahulu, ada dalam kalangan peniaga di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit masih belum bersedia untuk berpindah ke Kompleks Pasar Raja Bot kerana bimbang jualan mereka menurun akibat kekurangan pelanggan.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, keadaan di Kompleks Pasar Raja Bot masih sepi, berikutan peniaga yang masih berniaga di lokasi lama.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Johari berkata, beliau turut mencadangkan kepada tiga persatuan yang terlibat dalam menguruskan pasar itu bagi membayar perkhidmatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melancarkan pergerakan trafik di fasa transit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Putera Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Seri Rosli Sulaiman menjelaskan, beliau mahu semua peniaga untuk berpindah ke kompleks baharu itu bagi mengelak pembangunan oleh kerajaan tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu pasar baharu yang dibina ini menjadi projek ‘gajah putih’ seperti pasar di Selayang. Di Selayang, kita masukkan semua peniaga tetapi kita tidak dapat kawal peniaga-peniaga yang ada di sekitar kawasan jalan, tepi jalan, termasuk Rohingya dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga melihat DBKL hari ini tidak membuat kawalan sepenuhnya. Banyak peniaga-peniaga yang mengubah suai. Ada meja (disediakan) tetapi dia (peniaga) meletakkan lagi (meja) supaya dapat berniaga di hadapan sehingga laluan keluar masuk menjadi susah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini