SHAH ALAM: Lebih RM100 juta dijana Jabatan Imigresen Selangor menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang bermula 27 Januari lalu.
Sehingga 10 Mei lalu, 182,754 pendatang asing tanpa izin (PATI) didaftarkan oleh majikan di seluruh negeri ini melalui program berkenaan yang akan berakhir 31 Disember depan.
Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syami Jaafar, berkata daripada jumlah permohonan setakat ini, 20,794 permohonan sudah selesai melalui peringkat verifikasi dan 19,699 daripadanya sudah diluluskan.
“Saya minta majikan di Selangor, tidak kira sektor perkilangan, perindustrian, perkhidmatan atau pembersihan tampil mendaftarkan pekerja mereka yang dikategorikan sebagai PATI dalam Program RTK 2.0,” katanya selepas meninjau hari pertama dan sesi pertama Program RTK 2.0 bagi kategori Pembantu Rumah Asing (PRA) di Kompleks PKNS, di sini hari ini.
Muhammad Syahmi berkata, antara faktor menyumbang kepada permohonan tertinggi di Selangor disebabkan pengoperasian kilang-kilang di kawasan perindustrian yang kebanyakannya berpusat di negeri ini.
“Sektor paling tinggi pendaftarannya adalah pembinaan, diikuti perkilangan dan perkhidmatan, ini tiga sektor aktif di Selangor. Jumlah tenaga buruh yang tinggi bermastautin di Selangor juga antara penyumbang kepada peningkatan permohonan Program RTK 2.0 ini,” katanya.
RTK 2.0 tahun ini tidak mengenakan wang cagaran, manakala fi rekalibrasi adalah RM1,500 seorang.
Bayaran levi bagi sektor perkilangan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pengawal keselamatan dan perkhidmatan pula sebanyak RM1,850, manakala bagi sektor perladangan dan pertanian RM640.
Bayaran pas pula RM60 selain bayaran proses RM125, manakala bayaran untuk visa berbeza-beza mengikut warganegara.
Mengenai Program RTK 2.0 bagi kategori PRA pula, beliau memaklumkan, 7,250 PRA dari negara sumber yang dibenarkan, iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, India, Laos, Vietnam dan Nepal, sudah didaftarkan setakat ini.
“Ini bermakna tahun ini, seramai 7,250 pembantu rumah asing masih aktif di Selangor dengan dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,686 orang,” katanya.
Ia diikuti PRA dari Filipina dengan 2,091 orang, Vietnam (201), India (99), Kemboja (97), Sri Lanka (43), Thailand (35), Nepal (3) dan lima dari lain-lain negara.
Katanya, jumlah permohonan semasa direkodkan bagi Program RTK 2.0 di Selangor ialah 733 dan hari ini bermula urusan verifikasi bagi kategori berkenaan.