![](https://media.buletintv3.my/2023/09/xkBl0O4n-BULETIN-TV3-36.jpg)
KUALA LUMPUR: Setiap kali sarapan mahupun minum petang, makanan popular rakyat negara ini iaitu roti canai telah dipilih dan diiktiraf sebagai makanan terbaik peringkat dunia.
Perkara itu diumumkan TasteAtlas menerusi satu ciapan di aplikasi X kelmarin, menerbitkan carta 50 Teratas ‘Roti Terbaik di Dunia’.
TasteAtlas sebuah laman antarabangsa yang menjadi panduan pelancongan dalam talian, memfokuskan makanan dan memaparkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.
Roti canai adalah roti leper goreng yang popular di Malaysia, diadun dengan tepung, air dan telur yang kemudiannya menjadi doh.
Doh diuli beberapa kali bagi membentuk lapisan sebelum menjadi tekstur yang lembut dan gebu di bahagian dalam dan rangup di lapisan luar.
Pan de Bono yang berasal dari Colombia mendapat tempat kedua.
Roti berkenaan diperbuat daripada tepung jagung, keju dan telur.
Makanan terbaik di tempat ketiga ialah ‘butter garlic naan’ dari India.
Roti rata itu diperbuat daripada tepung gandum, mentega cair dan bawang putih.
Nan-e barbari dari Iran pula di tempat keempat dalam carta TasteAtlas, diikuti roti ubi kayu Ecuador di tempat kelima.
Roti kegemaran popular lain dalam senarai carta berkenaan termasuk baguette dari Perancis, paratha dari India dan mantou dari utara China, manakala roti prata dari Indonesia menduduki tempat ke-12.